KUALA LUMPUR, 12 April- Jumlah penduduk terjejas banjir di Sabah yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) petang tadi mencatatkan peningkatan manakala di Johor dan Selangor, semakin menurun.
Di Sabah, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah penduduk terjejas meningkat kepada 590 orang daripada 163 keluarga petang tadi, berbanding 383 orang daripada 94 keluarga, pagi tadi.
“Sebanyak 391 orang daripada 96 keluarga dipindahkan ke lima PPS di Nabawan manakala 199 orang daripada 67 keluarga berlindung di dua PPS di Sook.
“Sebanyak 30 kampung di Nabawan dan dua kampung di Sook terjejas banjir,” menurut kenyataan itu.
Di Johor, jumlah penduduk terjejas banjir di Batu Pahat berkurangan kepada 199 orang daripada 63 keluarga, berbanding 203 orang daripada 64 keluarga pagi tadi, dengan kesemuanya berlindung di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading.
Pengerusi JPBN Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata kesemua penduduk terjejas adalah penduduk Kampung Baharu Sri Gading, Kampung Parit Bengkok, Kampung Parit Kaspan, Kampung Parit Samion, Kampung Parit Haji Salleh Ros, Kampung Parit Sri Muar, Kampung Sri Pandan serta Kampung Parit Samijan.
“Hujan dilaporkan berlaku hingga petang ini di Kota Tinggi manakala Johor Bahru, Mersing, Segamat, Kluang, Batu Pahat dan Kulai mendung. Cuaca cerah direkodkan di Muar, Pontian dan Tangkak,” katanya dalam kenyataan.
Di Selangor, jumlah penduduk terjejas mencatatkan penurunan kepada 353 orang daripada 100 keluarga petang tadi, berbanding 1,191 orang daripada 322 keluarga pagi tadi.
Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat mereka ditempatkan di enam PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai dan Dewan Bakawali di Klang, PPS Dewan Kenanga, SK Shah Alam Seksyen 16 dan SMK Seksyen 16 di Shah Alam serta Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya Camelia (MBSJ) di Subang Jaya.- BERNAMA