SONGHKLA, 23 November - Seramai 43 guru Sekolah Kebangsaan Peremba dari Jalan Kilang Tebu, Kuala Kedah yang terkandas dalam kejadian banjir di Hatyai, Thailand selamat tiba di Kompleks Imigresen Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah kira-kira pukul 8.45 malam tadi.
Mereka bagaimanapun terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan termasuk meredah air setinggi lebih satu meter dengan berjalan kaki selama kira-kira satu jam dari hotel penginapan menuju ke tempat menunggu bas.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Peremba, Nor Zanita Bakar ketika dihubungi RTM berkata beliau bersama guru-guru berbincang dengan pemandu bas dan pemandu pelancong untuk keluar dari hotel berkenaan yang tiada bekalan elektrik hampir tiga hari.
Ia berikutan semua guru bimbang tidak dapat menghubungi keluarga masing-masing kerana tiada talian telekomunikasi selain bekalan makanan yang sukar diperolehi.
Mereka kemudian bergerak secara berkumpulan dari hotel pada pukul 3.15 petang waktu Malaysia.
Ketika berjalan kaki menuju ke bas, sepasang suami isteri bersama bayi mereka berusia setahun tiga bulan berasal dari Kelantan turut terkandas di Hatyai dan berada dalam keadaan gelisah dan ketakutan, merayu untuk menumpang bas berkenaan untuk kembali ke Malaysia.
Simpati dengan keluarga berkenaan, beliau bersetuju untuk membenarkan keluarga berkenaan menaiki bas yang sama.
Selain keluarga berkenaan, seramai 10 lagi rakyat Malaysia yang turut terkandas turut dibenarkan menaiki bas tersebut walaupun terpaksa berhimpit kerana jumlah penumpang yang ramai.
Beliau juga telah berhubung dengan pihak konsulat Malaysia di Songhkla memaklumkan mereka bersama beberapa rakyat Malaysia yang lain dalam perjalanan menuju ke sempadan Bukit Kayu Hitam.
Beliau berkata empat guru bersama dua rakan mereka yang menaiki motosikal berkuasa tinggi masih berada di Thailand dan terpaksa menunggu air surut untuk kembali ke Malaysia.
Katanya, sebuah kereta milik seorang kakitangan sekolah yang diletakkan di bahagian tempat letak kereta di bawah hotel juga tenggelam.
Beliau bagaimanapun bersyukur kerana semua warga sekolah tiba di tanah air dengan selamat.
Kesemua 47 guru dan warga Sekolah Kebangsaan Peremba ke Thailand sejak awal pagi Jumaat lalu untuk menyertai Program Lawatan Penanda Aras selain mengukuhkan hubungan dua hala dalam sektor pendidikan antara Malaysia dan Thailand.
Mereka sepatutnya pulang ke Malaysia semalam, namun terkandas di hotel penginapan selepas seluruh kawasan hotel dilanda banjir.