fb fb fb fb fb

Banjir: FAMA sediakan 60,000 kit makanan kepada penduduk terjejas

Setakat ini FAMA telah membekalkan lebih 295,000 kit makanan kepada NADMA sejak 2015 / Foto RTM

TANJONG KARANG, 15 November - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membekalkan 60,000 kit makanan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk diedarkan kepada penduduk terjejas banjir di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata daripada jumlah itu 40,000 daripadanya perlu disediakan sebagai stok fasa pertama sebelum akhir tahun ini sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL).

"Objektif untuk membuat pengedaran kit makan ini ada tiga objektif, yang pertama kita akan sentiasa membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat di timpa bencana banjir ini, yang kedua membantu pemasaran produk makanan tempatan dan yang ketiga kita mempromosi produk keluaran tempatan kepada kumpulan sasaran ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perlepasan Pengedaran Kit Makanan MTL Bagi tahun 2023/2024 di Pusat Memproses Makanan FAMA, di sini.

Tambah Chan, setakat ini FAMA telah membekalkan lebih 295,000 kit makanan kepada NADMA sejak 2015.

Katanya, setiap kit makanan itu mengandungi 12 produk makanan antaranya beras, garam, gula, susu pekat, kopi, kicap manis, bihun dan makanan sedia dimakan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN