fb fb fb fb fb

Banjir di Terengganu, calon SPM tidak terjejas

Jelani berkata seramai 18,494 calon di negeri itu menduduki peperiksaan tersebut di 176 pusat peperiksaan.

KUALA NERUS, 30 Januari-Peperiksaan bertulis Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2023 di Terengganu berjalan lancar walaupun terdapat beberapa daerah dilanda bencana banjir gelombang keempat.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata seramai 18,494 calon di negeri itu menduduki peperiksaan tersebut di 176 pusat peperiksaan.

"Daripada jumlah berkenaan, seramai 3,420 calon di Kuala Terengganu, Besut (3,005), Kemaman (2,827), Kuala Nerus (2,615), Dungun (2,284), Marang (1,742), Hulu Terengganu (1,469) dan Setiu (1,130).
 
"Semua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) sebelum ini, sudah dibuka termasuk SMK Padang Pulut di daerah Dungun yang dibuka, semalam.
 
"Selain itu JPNT turut membuat persediaan awal dengan bekerjasama dengan pihak agensi penyelamat seperti pihak bomba jika berlaku banjir di luar jangka dan membantu calon terperangkap ke pusat pemeriksaan," katanya kepada pemberita selepas meninjau hari pertama peperiksaan bertulis SPM 2023 di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud di sini.

Tambah Jelani, seramai 105 Calon Berkeperluan Khas (CBK) di Terengganu turut menduduki peperiksaan bertulis SPM 2023 yang bermula dengan kertas Bahasa Melayu.
 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM