IPOH, 17 Disember- Jumlah penduduk terjejas banjir di Perak meningkat kepada 80 orang daripada 25 keluarga, setakat pukul 10.00 pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri menerusi kenyataan memaklumkan, satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka melibatkan daerah Hilir Perak.
PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak menempatkan 80 penduduk daripada 25 keluarga.
Antara kawasan terlibat adalah Batu 9, Lorong Kedah, Lorong Belakang Klinik, Lorong Sidang Osman, Batu 7 dan Lorong Imam Khairi.
Menurut kenyataan, hujan sejak beberapa hari lalu menyebabkan paras air Sungai Bidor meningkat dan melimpah hingga memasuki beberapa kediaman.