MELAKA, 8 Mac- Situasi banjir di Melaka semakin pulih dengan hanya sembilan mangsa daripada tiga keluarga masih berlindung di pusat pemindahan setakat 8 pagi ini, berbanding 32 orang daripada 11 keluarga pada 8 malam tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim menerusi satu kenyataan pagi ini memaklumkan, semua penduduk terjejas kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu, Sungai Rambai, Jasin.
"Satu lagi PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Abdul Rahman Ya'kub, Merlimau, yang menempatkan 25 penduduk daripada lapan keluarga, telah ditutup pada 10.40 malam tadi," katanya dalam kenyataan tersebut.
Sebelum ini, dua daerah di Melaka iaitu Melaka Tengah dan Jasin dilanda banjir selepas hujan berterusan sejak 11 malam Rabu, menyebabkan 37 kawasan dinaiki air.