fb fb fb fb fb

Banjir di Kelantan, jumlah penduduk terjejas berkurangan

Foto Fail

PASIR MAS, 19 Disember- Jumlah penduduk terjejas banjir di Kelantan dilapor berkurangan dengan dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ditutup setakat pukul 7.00 malam tadi.

Menurut info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah penduduk terjejas banjir di negeri itu menurun kepada 3,240 orang berbanding 3,807 orang pada petang tadi.
 
Kesemua mereka membabitkan 992 keluarga itu masih berlindung di 10 PPS di jajahan tersebut.

Penduduk terjejas banjir paling ramai berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’ Deh iaitu seramai 901 orang daripada 288 keluarga.
 
Selain itu, mereka juga berada di PPS antaranya,SK Gual Periok seramai 511 orang membabitkan 121 keluarga, SMK Baroh Pial 507 penduduk terjejas banjir daripada 207 keluarga dan SK Sri Kiambang 421 orang daripada 124 keluarga.

Dalam pada itu, menurut Public Infobanjir JPS, satu sungai utama mencatatkan aras melebihi tahap bahaya iaitu Sg Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas iaitu 9.36 meter namun trend adalah menurun.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM