fb fb fb fb fb

Banjir di Kelantan hampir pulih, hanya tiga PPS dibuka

Hanya tiga pps masih beroperasi di Tanah Merah dan Pasir Mas/Foto APM Kelantan

KOTA BAHRU, 31 Disember - Banjir di negeri ini hampir pulih apabila hanya tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih beroperasi di Tanah Merah dan Pasir Mas, melibatkan 141 penduduk terjejas banjir daripada 45 keluarga.

Tinjauan di Tanah Merah mendapati rata-rata penduduk terjejas menyatakan keadaan semakin pulih berikutan cuaca baik sejak semalam.

"Gelombang kedua air masuk melalui dapur menyebabkan banyak kerosakan, sekarang sibuk membersihkan rumah," kata Zalilah Seman, salah seorang penduduk terjejas.

Supadilati Mat Nor pula berkata banjir kali ini berlaku dengan pantas sehingga mereka tidak sempat bersiap menghadapi kenaikan air.

"Air naik pagi dengan cepat, semuanya berlaku tiba-tiba," katanya.

Seorang lagi penduduk, Ku Rozilawati Ku Ali, turut berkongsi pengalaman bahawa mereka kini kembali ke rumah selepas PPS ditutup untuk membersihkan kediaman yang terjejas.

"Gelombang kedua ini sangat pantas, banyak kerja pembersihan belum selesai," katanya.

Sementara itu, menurut laman PublicInfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang masih melebihi paras bahaya.

Manakala tiga sungai lain—Sungai Golok di Kampung Jenob, Sungai Kelantan di Kusial, dan Sungai Kelantan di Kuala Krai—telah melepasi paras waspada.

GRACE AISYAH KEDAYAN