KOTA BHARU, 29 November - Setakat pukul 11.00 pagi tadi, seramai 60,232 orang penduduk terjejas dipindahkan ke 227 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 59,187 orang di 221 PPS pukul 6.00 pagi tadi.
Menurut Laman Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasir Mas kekak tertinggi dengan hampir 22,000 penduduk mendapatkan perlindungan di 53 PPS yang aktif di jajahan itu.
Jumlah penduduk terjejas banjir kedua tertinggi ialah Tumpat iaitu seramai 9,427 orang di 18 PPS.
Sementara itu menurut laman eBencana Negeri Kelantan, enam sungai utama di negeri itu melepasi paras bahaya antaranya, Sungai Golok di Rantau Panjang, Sungai Semerak di Pasir Puteh dan Sungai Kelantan di Jeti Kastam.
Sementara itu bilangan penduduk terjejas banjir di Terengganu, juga meningkat kepada 21,018 penduduk setakat pukul 10.00 pagi tadi, berbanding 20,754 penduduk awal pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan, 233 PPS kini di buka di tujuh daerah.
"Daerah Besut paling ramai iaitu 9,374 penduduk, Setiu 4,317 orang Dan Hulu Terengganu 4,335 penduduk.
"Manakala Dungun 719 orang, Kemaman 1,534 orang, Marang 668 penduduk Dan Kuala Nerus 71 orang. Ketika ini bacaan aras tujuh sungai berada pada tahap bahaya," menurut sekretariat itu.
Ia melibatkan Sungai Kemaman- Paya Paman, Sungai Dungun- Kuala Jengai Dan Jambatan Jerangau, Sungai Nerus- Kampung Bukit, Kampung Langkap, Jambatan Permiasuri, Jambatan Chalok di Setiu.
Di Kedah, hingga pukul 11.00 pagi tadi, penduduk yang terjejas banjir terus meningkat kepada 4,378 orang terdiri daripada 1, 432 keluarga.
Kesemua mereka berlindung di 34 PPS di lima daerah iaitu di Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena dan Sik.
"Di Kubang Pasu, seramai 1,708 penduduk dengan 600 keluarga di tempatkan 13 PPS, di SMK Changlun, SMK Binjai, SK Batu 8, SK Sultan Ahmad Tajuddin, Dewan PPK Lubuk Batu dan SK Malau.
"Di Padang Terap, seramai 1,145 penduduk terjejas banjir daripada 338 keluarga dan ditempat di sembilan PPS di SK Kuala Nerang, SK Seri Bakti, SK Nami dan SK Padang Terap.
Manakala di Kota Setar, seramai 735 penduduk terjejas banjir daripada 230 keluarga dengan tiga PPS dibuka di SK Taman, SK Titi Gajah dan SMLK Kepala Batas.
Sementara itu, di Pokok Sena, seramai 429 penduduk daripada 140 keluarga berlindung di tiga PPS iaitu di Dewan Serbaguna Pokok Sena,SK Bukit Hijau dan Dewan Masjid An Nur.
Di Sik, seramai 361 penduduk daripada 124 keluarga ditempatkan di enam PPS di SK Kota Aur, SK Kg Betong, SK Padang Chicar dan SK Jeneri.