fb fb fb fb fb

Banjir di Kedah, Perlis, Pulau Pinang terkawal

Datuk Aminurrahim Mohamed

KUALA NERUS, 19 September- Situasi banjir di tiga negeri sebelah utara iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang masih terkawal demikian dinyatakan Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Datuk Aminurrahim Mohamed.

Kesiapsiagaan kesemua agensi penyelamat juga berada pada tahap terbaik selain menyediakan pelan kontigensi sekiranya situasi luar jangka berlaku termasuk bantuan negeri berhampiran.

Menurut Aminurrahim banjir yang berlaku ketika ini akan reda sedikit masa lagi berikutan Met Malaysia juga tidak mengeluarkan amaran cuaca ekstrem.

"Setiap tahun kita telah menyediakan perancangan sebagai contoh sekiranya banjir berlaku di Kelantan, Perak dan Kedah pada masa akan datang ada negeri-negeri strategik membantu.

"Begitu juga Pahang, jadi kalau berlaku apa-apa kita akan gerakkan tetapi macam contoh di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang gerakan seperti ini belum diperlukan. Namun kita mengharapkan cuaca akan menunjukkan perubahan dan tidak menjejaskan banyak harta benda," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Penutup Himpunan Pertahanan Awam Peringkat Zon Timur di sini.

Dalam perkembangan sama beliau berkata lebih 16,000 pegawai dan anggota sukarelawan APM seluruh negara bersiap sedia menghadapi Monsun Timur Laut tahun ini.

Kekuatan itu akan turun dibantu pasukan Civil Defence Auxilary (CDA) sekiranya berlaku situasi luar jangka.

Malah lebih 1,000 aset termasuk lori tujuh tan, pacuan empat roda serta bot berada dalam keadaan baik dan telah sedia untuk digerakkan sepanjang musim tengkujuh kali ini.

Namun juga mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir sentiasa berwaspada selain mendapatkan informasi terkini.

Dalam pada itu sehingga 18 September lalu APM merekodkan 9,116 kes pokok tumbang di seluruh negara yang dikendalikan agensi itu.

Kes pokok tumbang paling banyak direkodkan ialah di Perak iaitu 1,215 diikuti Kedah (1,074), Sabah (1,045), Negeri Sembilan (738), Sarawak (713) dan Selangor (713), Johor (585) dan Terengganu (218).

Daripada angka tersebut seramai 16,906 individu terlibat dalam kejadian berkenaan.

Justeru beliau mahu orang ramai sentiasa peka cuaca terkini dan menghindari kawasan berisiko termasuk pantai.

"Itu saya setuju sebab itu saya nyatakan tadi kita kene peka cuaca kawasan yang dijangka berlaku ribut, hujan lebat dan kawasan kepala air.

"Ia disebabkan orang ramai leka dengan kawasan panas yang sering terjadi kejadian itu. Jadi orang ramai kena pastikan supaya mengelak untuk berada di kawasan pinggir air," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI