fb fb fb fb fb

Banjir: Angka penduduk terjejas menurun sedikit pagi ini

Pandangan dari udara kawasan sawah padi dan sekolah yang ditenggelami air ketika tinjauan situasi banjir dekat jitra pada 19 September 2024/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 September- Seramai 7,436 orang terjejas banjir direkodkan di lima negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Perlis dan Perak, setakat 6.00 pagi tadi.

Menurut Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), kesemua membabitkan 2,264 keluarga itu berlindung di 47 pusat pemindahan sementara (PPS) dekat 13 buah daerah. Ia menunjukkan sedikit penurunan berbanding 7,446 orang daripada 2,306 keluarga di 49 PPS pada tengah malam tadi.

Kedah merekodkan angka tertinggi dengan 7,007 penduduk terjejas daripada 2,143 keluarga di 37 PPS membabitkan enam daerah.

Kota Setar mencatatkan 3,080 orang terjejas diikuti Kubang Pasu (1876), Pokok Sena (926), Pendang (813), Kuala Muda (184) dan Bandar Baharu (128).

Sementara itu, Pulau Pinang mencatatkan 222 orang daripada 54 keluarga di lima buah PPS -- Seberang Perai Utara (199), Seberang Perai Tengah (20) dan Seberang Perai Selatan (tiga).

Seterusnya adalah Selangor dengan 101 orang daripada 36 keluarga terjejas di sebuah PPS di daerah Kuala Selangor, manakala Perlis melibatkan 90 orang daripada 28 keluarga di tiga PPS -- Arau (80) dan Perlis (10).

Perak pula membabitkan 16 orang daripada tiga keluarga di daerah Kerian yang berlindung di sebuah PPS.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang bagi negeri Sarawak (Miri dan Limbang), Sabah (Pedalaman: Tenom dan Kuala Penyu) serta Labuan sehingga 9.00 pagi ini.

Amaran dikeluarkan berikutan tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir berlaku atau dijangka berlarutan melebihi sejam.

Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.

Kenyataan tersebut dikeluarkan pada pukul 6.00 pagi tadi.

SITI AISHAH MD ISA