fb fb fb fb fb

Banjir: 7 PPS dibuka di Kedah

Foto APM Kedah

BALING, 4 Oktober- Sebanyak tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka malam tadi di Baling, Kedah; melibatkan 199 orang daripada 66 keluarga setakat pada pukul 8.00 pagi tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Suhaimi Mohd Zain, berkata daripada jumlah tersebut, tujuh orang yang dipindahkan adalah Orang Kurang Upaya (OKU), manakala 31 lagi merupakan warga emas.

"PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Siong (36 orang), SK Seri Bayu (26 orang), SK Tanjung Pari (35 orang), Dewan Kampung Banggol (36 orang), Surau Kampung Lahar (25 orang), Sekolah Menengah Kebangsaan Parit Panjang (33 orang), dan Surau Al Barakah Tembak B (10 orang)," katanya menerusi kenyataan.

Manakala, kawasan yang terjejas melibatkan empat mukim iaitu Mukim Siong, Mukim Bakai, Mukim Pulai, dan Mukim Teloi Kanan.

Hujan lebat lewat petang semalam menyebabkan kawasan berdekatan sungai dilimpahi air.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM