fb fb fb fb fb

Banjir, 102 laporan polis diterima di Kelantan

Foto FB PDRM Kelantan

PASIR MAS, 19 Disember- Sebanyak 102 laporan polis berkaitan banjir diterima polis Kelantan sepanjang episod gelombang banjir yang sedang melanda negeri itu.
 
Kebanyakan laporan adalah membabitkan kemusnahan tanaman, haiwan ternakan dan kerosakan rumah yang dibuat untuk tujuan tertentu serta memerlukan pengesahan polis.
 
Menurut Ketua Polis Negeri, Datuk Muhammad Zaki Harun, kebanyakan laporan diterima dari jajahan Pasir Mas yang paling terkesan dengan bencana itu setakat ini.
 
"Ini penting bagi mereka sebab mungkin ada program lain yang mereka perlu gunakan laporan ini. Maka, laporan itu dibuat atas dasar keperluan mereka sahaja. Mungkin ada perancangan daripada pihak Persekutuan dan negeri.

Setakat ini, saya tidak dimaklumkan tetapi persediaan penghuni atau mangsa itu atas kesedaran mereka sendiri," kata Datuk Muhammad Zaki kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 2, di sini.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan pihaknya bagaimanapun tidak menerima laporan berkaitan penipuan mendaftar sebagai mangsa banjir di PPS seluruh negeri itu.

Sementara itu, Datuk Muhammad Zaki berkata sebanyak 11 pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta sebuah balai berdekatan sungai terkesan banjir ekoran digenangi air.
 
Tegasnya, penugasan anggota tetap dijalankan seperti biasa bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM