fb fb fb fb fb

Bangunkan bandar tahan bencana, Malaysia tumpukan penerapan PISMA

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi / Foto FB Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR, 3 Jun - Malaysia akan menekankan penerapan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) untuk menangani isu di kawasan bandar yang sering dilanda banjir.

Ini merupakan sebahagian usaha kerajaan untuk membangunkan bandar tahan bencana.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam ucapannya pada pembukaan pleno Sidang Kemuncak Bandar Dunia (WCS) di Singapura menegaskan bandar tahan bencana merupakan aspek penting dalam pembangunan bandar.

"Ini ke arah memperbaiki sistem saliran di kawasan bandar bagi mengurangkan kejadian banjir besar terutama di negara yang terdedah kepada bencana alam seperti Malaysia," kata Nanta menerusi hantaran di Facebook.

Sehubungan itu, Nanta berkata perancangan guna tanah dalam rancangan struktur negeri dan rancangan tempatan akan diselaraskan dengan PISMA.

Katanya, pelaburan dalam infrastruktur tahan bencana, sistem amaran awal termasuk penglibatan komuniti, kunci untuk membina keupayaan bandar untuk bertahan dan pulih daripada bencana.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN