fb fb fb fb fb

Bandar Baharu Bagan Datuk dijangka siap tiga hingga lima tahun lagi

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

BAGAN DATUK, 3 Mac - Pembangunan Bandar Baharu Bagan Datuk di atas tanah seluas 155.8 hektar dijangka siap dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan projek tersebut seiring statusnya sebagai daerah ke-12 di negeri Perak.

Katanya apabila ia siap kelak Bandar Baharu Bagan Datuk itu akan menempatkan pusat pentadbiran jabatan persekutuan, negeri dan daerah.

"Bandar Baharu Bagan Datuk ini penting untuk dibangunkan kerana ia merupakan daerah baharu dan pekan Bagan Datuk sedia ada tidak boleh dikembangkan lagi, masalah tanah, jika Bandar Baharu Bagan Datuk ini dikembangkan di situ, kerana itu kita ada di kawasan lain," kata Zahid kepada media selepas melawat pameran mini usahawan bimbingan Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA) di Dewan Dato' Lope Hashim, di sini.

Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan RM500 juta untuk kerja-kerja pelebaran Jalan Simpang Empat-Bagan Datuk daripada dua lorong kepada empat lorong, bagi mengurangkan kesesakan di waktu puncak dan cuti perayaan dan turut akan dibina ialah sebuah jejambat di Pekan Simpang Empat.

Dalam pada itu Zahid berkata, tiga jawatankuasa bawah Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) bukan hanya memantau semua resolusi yang diluluskan, sebaliknya turut berperanan mencari dana dan mekanisme untuk melaksanakannya.

Katanya, untuk itu beliau juga telah mengarahkan Majlis Amanah Raya (MARA) untuk memulakan usaha tersebut bagi memperoleh dana tambahan sumbangan wakaf kumpulan sasaran.

Tiga jawatankuasa itu adalah Jawatankuasa Induk, Pemandu dan Kerja.

"Bukan sekadar resolusi atas kertas tetapi dalam tempoh hingga bulan Jun semua perancangan bagi menterjemahkan pelaksanaan resolusi itu telah berada di tangan urus setia tetap atau sekretariat tetap. Dalam tempoh terdekat kita akan melaksanakan semua apa yang telah di resolusikan termasuk sebagaimana diucapkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Bagi memastikan segala usul dan dan resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 dijayakan dengan segera, sebuah sekretariat tetap ditubuhkan di bawah MEB.

Semua keputusan dan resolusi yang dibentang kluster dan kumpulan itu dikumpulkan urus setia.

TETITIA YUSOFF