TELUK INTAN, 15 November - Ban Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang terputus menjadi punca banjir termenung di kawasan Batu 9 dan Batu 10 dekat Changkat Jong, di sini sejak Oktober lalu.
Bagi mengatasi masalah tersebut Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukkan RM10 juta telah diluluskan.
Beliau turut mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak supaya memohon peruntukan tambahan untuk kerja-kerja pembinaan ban baharu dapat dilaksanakan serta menyambung semula ban yang terputus.
"Memang ada RM10 juta peruntukan yang telah diluluskan Kerajaan Pusat dan kita sedang membina ban tersebut tetapi yang kita buat RM10 juta itu belanjawan sebelum ban terputus.
Jadi dengan peruntukan itu kita dapat bina ban mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan,api ada ban lain yang terputus. Itu yang menyebabkan air masih berterusan masuk." kata Saarani kepada pemberita selepas melawat penduduk terjejas banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Chikus, di sini.
Saarani juga memaklumkan kerajaan negeri menghadapi beberapa kekangan untuk memindahkan penduduk terjejas banjir termenung di Changkat Jong ke penempatan baharu.
Antara kekangan itu adalah tapak penempatan yang sesuai selain kos pembinaan rumah dan infrastruktur di kawasan penempatan baharu tersebut.
"Kos untuk membina rumah dan kos untuk membina infrastruktur biasanya tanah yang kita jumpa agak jauh daripada jalan raya jadi infrastruktur untuk sampai ke kawasan baharu tersebut agak mahal," katanya lagi.
Setakat ini kerajaan negeri sudah memindahkan seramai 15 keluarga di Changkat Jong ke Program Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Laksama Teluk Intan sejak enam bulan lalu.