KUALA LUMPUR, 4 Mac- Balok Baru, Kuantan mencatatkan status kualiti udara pada tahap ‘tidak sihat’ dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 188 berbanding sebelum ini mencapai 201 hingga 300 iaitu pada tahap 'sangat tidak sihat' disebabkan kebakaran tanah gambut di Ladang Kelapa Cherating, Kuantan dengan keluasan dianggarkan kira-kira 200 ekar.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan, status IPU berkenaan berdasarkan pemantauan kualiti udara negara yang direkodkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada pukul 9.00 pagi tadi.
"Pada masa ini, usaha pemadaman sedang giat dijalankan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melalui kaedah firefighting, water bombing dan kerja-kerja flooding di kawasan kebakaran dengan kerjasama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
"Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 3 Mac 2025 melaporkan bahawa hujan akan berlaku pada hari ini, bagaimanapun keadaan lebih kering diperhatikan di Semenanjung Malaysia
dan Utara Sumatera," menurut kenyataan itu.
Susulan itu JAS telah mengeluarkan Nota Pemberitahuan Amaran 3A dan 3B kepada Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk tindakan hebahan Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana di
peringkat negeri dan daerah disebabkan bacaan IPU mencapai 201 hingga 300 di Balok Baru pada 3 Mac.
Dalam pada itu Nik Nazmi turut memaklumkan bahawa beliau akan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan Bil. 1 Tahun 2025 pada 5 Mac.
"Mesyuarat tahunan yang melibatkan lebih 60 buah Kementerian, Jabatan, Agensi dan Kerajaan Negeri ini diadakan bagi melaporkan status terkini keadaan cuaca, kualiti udara dan sebagai platform bagi merancang tindakan dan strategi pencegahan pembakaran terbuka serta jerebu.
"Isu kebakaran yang berlaku di Ladang Kelapa Cherating, Kuantan, Pahang dan tindakan penyelarasan berkaitan akan turut dibincangkan melalui mesyuarat ini.
"Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) juga telah mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) pada 21 Februari 2025 bagi membolehkan Kementerian, Jabatan, Agensi yang berkaitan dan Kerajaan Negeri meningkatkan pemantauan dan mengambil tindakan berjaga-jaga bagi mencegah pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan jerebu tempatan, menjejaskan kualiti udara dan kesihatan awam," tambah kenyataan itu.
JAS turut mengaktifkan Prosedur Tetap Operasi (PTO) bagi Melaksanakan Program Mencegah Kebakaran di Tanah Gambut Untuk Mengatasi Jerebu di Malaysia sejak 26 Februari.
Selain itu jabatan berkenanan juga meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti pemantauan melalui darat dan udara dengan menggunakan dron serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.
Bagaimanapun pemilik tanah dinasihatkan agar memantau kawasan-kawasan mudah terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri serta mengambil langkah-langkah untuk mencegah pencerobohan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab hingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.
Bacaan IPU di Balok Baru, Kuantan disebabkan oleh kebakaran tanah gambut di Ladang Kelapa Cherating, Kuantan, Pahang dengan keluasan yang dianggarkan sekitar 200 ekar.