BAGAN DATUK, 1 September - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keterampilan bakat seni terutamanya daripada golongan generasi Z perlu menggabungkan antara seni dan teknologi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata ia supaya bidang seni tidak dianggap kolot dan mundur oleh golongan berkenaan.
“Apa pun teknologi yang akan muncul di hadapan kita khususnya kepada generasi akan datang mesti tidak pernah dan tidak akan melupakan unsur-unsur seni ini yang bukan hanya menjadi ubat tetapi ramuan penting untuk jiwa kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perkampungan Puisi Insaniah di Kompleks Pelancongan Bagan Datuk di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata puisi tidak lagi dihargai dan jauh sekali untuk dihayati bait-baitnya yang penuh makna, apatah lagi pencak silat hanya dijadikan sebagai bahan untuk Sukan SEA dan Olimpik.
“Kita lupa bahawa di sana terdapat nilai-nilai seni yang cukup hebat yang harus ditanamkan di peringkat awal usia untuk anak cucu kita.
“Tentunya bukan sekadar itu banyak lagi aspek kesenian yang telah mula tertanam dan tertimbus dengan sendirinya kerana pemuka-pemuka seni tidak lagi menjadi jadi ikon kepada masyarakat,” katanya.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut mendeklamasikan sajak bertajuk “Palestin Merdeka” karya Dr Mohd Hisham Surgi.
Sajak berkenaan berkisarkan keadaan rakyat Palestin dan kesungguhan mereka memperjuangkan kemerdekaan serta doa yang tidak pernah putus daripada umat Islam kepada mereka.