(Foto Hiasan)
KUALA LUMPUR, 7 Oktober- Bagi tahun 2023, Kerajaan memperuntukkan RM2.6 bilion kepada FELDA, FELCRA dan RISDA sebagai antara agensi utama yang mengawal selia aktiviti komoditi.
Dasar Agrikomoditi Negara 2030 menyasarkan kawasan bertanam getah sekurang-kurangnya 1.1 juta hektar menjelang 2030.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, bagi mencapai sasaran itu, sejumlah RM315 juta disediakan untuk melaksanakan Program Pembangunan Kawasan Bertanam Getah Pekebun Kecil bagi menggantikan pokok getah tua yang tidak lagi berhasil untuk manfaat 387,000 pekebun kecil.
"Selain itu, Program Pembangunan Semula Hasil Baharu turut dilaksanakan bagi menggalakkan pekebun kecil meneroka pendapatan baharu selain getah seperti tanaman makanan jangka pendek dengan peruntukan RM40 juta,"katanya.
Tambah Datuk Seri Zafrul, Kerajaan menyediakan RM70 juta bagi terus menambah baik tahap kelestarian industri sawit, termasuk menggalakkan kitaran semula bahan sisa sawit.
Disamping itu, levi pekerja asing pelbagai peringkat atau 'multi-tiered levy' disasarkan untuk dilaksana menjelang 2023.
Untuk itu, Kerajaan katanya bercadang menyalur semula hasil levi tambahan untuk menyokong majikan membiayai inisiatif automasi tersebut dengan memberi insentif dan membantu majikan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
(Foto Hiasan)