fb fb fb fb fb

Bajet 2023: 50,000 peluang kerjaya menerusi MySTEP

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan MySTEP dengan menawarkan 50,000 peluang kerjaya secara kontrak.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ia merangkumi 15,000 peluang pekerjaan dalam sektor awam dan 35,000 melalui Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Katanya, tempoh perkhidmatan MySTEP sektor awam juga akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2023.

(Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz)

"Bermula tahun 2023, gaji MySTEP akan dinaikkan sebanyak RM100 iaitu antara RM1,500 hingga RM2,100 berbanding RM1,400 hingga RM2,000.

"Keluarga Malaysia akan terus disediakan dengan peluang mengikuti pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan semula bagi mempersiap diri memenuhi kehendak pasaran," katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat.

Tambah Zafrul, Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) turut akan menyediakan sejumlah RM750 juta untuk memberi latihan kemahiran kepada lebih 800,000 pekerja bagi meningkatkan produktiviti dan peluang pendapatan.

"Sebagai usaha melahirkan bakat baharu, Suruhanjaya Sekuriti dengan kerjasama Dana Pembangunan Pasaran Modal akan menubuhkan Dana Inovasi Digital (DIGID) melibatkan RM30 juta bagi meningkatkan kebolehpasaran 9,000 graduan dalam pasaran.

"Selain itu, RM20 juta turut disediakan bagi melaksanakan Program Usahawan Siswazah (PUSh) untuk memanfaat 1,000 graduan menceburi bidang keusahawanan," katanya.

Media Baharu