ALOR SETAR, 10 November - Pembukaan Baitul Mahabbah telah meningkatkan imej negara di persada antarabangsa dalam usaha menjaga hak asasi kanak-kanak warga asing.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Baitul Mahabbah merupakan institusi diperkenalkan Kerajaan MADANI sebagai pusat penempatan sementara bagi menampung kanak-kanak warga asing berumur kurang 10 tahun yang ditahan bersama-sama penjaga sehingga proses dokumentasi mereka selesai.
Menurut Saifuddin, inisiatif itu adalah salah satu komitmen kerajaan untuk melindungi hak kanak-kanak tanpa mengira status seperti yang dinyatakan dalam Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).
"Penglibatan NGO kita alu-alukan, penglibatan agensi kerajaan juga ada RELA, BOMBA, Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) yang beri kerjasama. Nama pun beri pelindungan pada mereka yang masuk yang tentu menyalahi undang-undang negara, mematuhi konvensyen kanak-kanak, akta kanak-kanak, kanak-kanak mesti dilindungi. Ini antara komitmen yang kita terjemahkan," kata Saifuddin.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Baitul Mahabbah Darul Aman di Kuala Kedah, Kedah.
Pembukaan itu merupakan ke lima selepas Baitul Mahabbah diwujudkan di Nilai, Negeri Sembilan; Papar, Sabah; Bekenu, Miri, Sarawak dan Tanah Merah, Kelantan.
Baitul Mahabbah Darul Aman diwujudkan di premis Kuarters Imigresen Kuala Kedah di Kampung Sematang dan mula beroperasi pada 24 Julai lalu.
Ia menempatkan 35 kanak-kanak iaitu lapan lelaki, 12 perempuan dan 15 orang penjaga perempuan yang terdiri daripada warganegara Myanmar, Kemboja dan Vietnam.
Baitul Mahabbah ditubuhkan bagi memberi perlindungan dan penjagaan kepada kanak-kanak warga asing yang ditahan di depoh imigresen.
Ia bertujuan mengeluarkan kanak-kanak daripada keadaan tahanan dewasa dan menyediakan persekitaran yang lebih selamat dan kondusif kepada mereka.
Program tersebut bukan sahaja memberi perlindungan kepada kanak-kanak tetapi juga membantu dalam usaha antipemerdagangan manusia dengan memberikan alternatif yang lebih baik dari penahanan di depot dewasa.