
KRABI, 26 Januari – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah mengingatkan agar asas jati diri ummah tidak diketepikan dalam keghairahan mengejar kemajuan.
- Perkukuh bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, dakwah dan komunikasi rasmi untuk menyatukan masyarakat serantau.
- Pelihara bahasa Melayu sebagai warisan bersama yang memelihara identiti dan kefahaman Islam berteraskan budaya setempat.
- Perkasa bahasa Melayu seiring penguasaan ilmu dan teknologi moden supaya ia kekal relevan dalam pembangunan semasa.
Baginda bertitah, bahasa Melayu sebagai bahasa serumpun perlu terus disuburkan, diperkukuh dan dimartabatkan sebagai bahasa ilmu, dakwah serta komunikasi rasmi kerana peranannya yang besar dalam menyatukan masyarakat di rantau ini.
Menurut baginda, bahasa Melayu juga merupakan warisan bersama yang berfungsi memelihara identiti serta kefahaman Islam berteraskan budaya setempat.
Sehubungan itu, usaha memperkasa bahasa Melayu perlu dilaksanakan seiring dengan penguasaan ilmu dan teknologi moden bagi memastikan ia kekal relevan dalam arus pembangunan semasa.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan penutupan Program Jawi anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Kompleks Majlis Agama Islam Krabi.
Pada majlis berkenaan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM8,000 kepada empat buah sekolah agama, selain sumbangan RM5,000 kepada Majlis Agama Islam Krabi.