Bahasa dan sastera bentuk masyarakat berfikiran lebih matang

Datuk Seri Fadillah menyampaikan hadiah kepada pemenang Sayembara Penulisan Kreatif Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

KUALA LUMPUR, 10 Februari – Bahasa dan sastera bukan sekadar wadah ekspresi, sebaliknya menjadi pemangkin pembentukan masyarakat yang berfikiran matang, beradab dan berdaya menilai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bahasa dan sastera membentuk masyarakat berfikiran matang, beradab serta berdaya menilai.
  • Karya sastera bermutu menyemai perpaduan, toleransi dan saling menghormati dalam masyarakat majmuk.
  • Kerajaan dan pihak berkepentingan perlu memperkasa ekosistem penulisan kreatif dan penyebaran digital karya sastera.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, karya sastera bermutu mampu menyemai nilai perpaduan, toleransi serta saling menghormati dalam masyarakat majmuk yang menjadi nadi kekuatan utama negara.

“Penulis dan sasterawan juga perlu tampil sebagai suara penimbang tara menyampaikan kritikan secara berhemah serta menawarkan pemikiran alternatif yang membina.

“Ini demi mengelakkan polarisasi pemikiran dan emosi yang melampau. inilah realiti dunia media sosial sekarang bahasanya amat jauh daripada nilai budaya yang kita semai dari dulu lagi.

“Inilah peranan kita kembalikan nilai dan maruah bangsa kita bangsa yang beradat berbudi bahasa dan bangsa yang menyatukan bangsa kita untuk kemakmuran dan kesejahteraan negara kita,”katanya.

Beliau menyatakannnya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Penulisan Kreatif Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Pada majlis sama, Datuk Seri Fadillah turut menyampaikan hadiah kepada 16 Pemenang Sayembara Penulisan Kreatif DBP menerusi 4 kategori iaitu puisi, cerpen, drama pentas dan novel.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan kekal komited memperkasa ekosistem penulisan kreatif termasuk melahirkan bakat baharu, memperluas ruang penerbitan dan memperkukuh apresiasi masyarakat terhadap karya sastera tempatan.

Datuk Seri Fadillah turut menekankan sokongan menyeluruh daripada institusi pendidikan, Badan Bukan Kerajaan, sektor swasta dan komuniti sebagai kunci kejayaan usaha itu, selain memperkasakan karya sastera melalui medium digital bagi menembusi khalayak lebih luas.