
KUALA LUMPUR, 17 Mac – Bekalan bahan mentah di negara ini dilaporkan masih mencukupi dan tidak membimbangkan menerusi hasil pemeriksaan yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDN WPKL).
- KPDN WPKL terus memantau perkembangan konflik Iran-Amerika Syarikat dan kesannya ke atas pasaran.
- Op Embun dan SHMMP HRP 2026 dilaksanakan di Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Pudu.
- Sebanyak 26 kompaun berjumlah RM5,200 dikeluarkan segera melalui sistem pembayaran elektronik.
- Pemeriksaan menemui pelbagai kesalahan seperti tiada tanda harga, tanda harga tidak merah jambu, dan alat timbang belum ditentusahkan.
Pengarah KPDN WPKL Mohd Sabri Seman berkata, tiada petanda kenaikan harga secara mendadak dalam masa terdekat walaupun terdapat ketidaktentuan berikutan konflik di Asia Barat.
“Cuma, melihat kepada senario konflik Iran-Amerika Syarikat, kita belum dapat memastikan perkembangan seterusnya. Namun, setakat ini belum ada petanda kenaikan harga secara mendadak dalam masa terdekat.
“Ini kerana pada masa ini berlaku lebihan penawaran atau lambakan bagi barangan seperti sayur-sayuran dan ikan, sekali gus menyebabkan harga berada pada paras yang rendah.
“Bagaimanapun, kita akan terus memantau perkembangan luar kawalan negara, khususnya situasi konflik Iran-Amerika Syarikat. Apa pun, kita doakan yang terbaik agar semua pengguna dapat menyambut Hari Raya dengan gembira,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Op Embun sempena pelaksanaan Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2026 di ibu negara.
Dalam operasi itu sebanyak 26 kompaun berjumlah RM5,200 telah dikeluarkan serta-merta di lokasi kejadian melalui sistem pembayaran elektronik (e-payment).
Mohd Sabri berkata sebanyak 220 premis peniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur dan 280 premis di Pasar Pudu telah diperiksa menerusi operasi berkenaan.
Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan telah dikesan, antaranya kegagalan mempamerkan tanda harga, tidak menggunakan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan terkawal, serta penggunaan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan.
Seramai 55 pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN WPKL terlibat dalam operasi di dua lokasi utama yang merupakan antara pusat tumpuan orang ramai serta hab utama pengedaran bekalan barangan makanan di ibu negara.
Sepanjang tempoh pelaksanaan Op Pantau dan SHMMP HRP 2026, sebanyak 2,179 pemeriksaan telah dijalankan melibatkan pelbagai kategori perniagaan.
SHMMP HRP 2026 berkuat kuasa bermula 14 Mac hingga 28 Mac 2026, melibatkan tempoh selama 15 hari iaitu tujuh hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tujuh hari selepas perayaan.
KPDN WPKL terus komited dalam memastikan kestabilan harga barangan serta melindungi hak pengguna, khususnya sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.