PETALING JAYA, 21 Mac- Seorang pengawal keselamatan menemukan bagasi yang berisi wang tunai lebih RM500,000 di sebuah pusat beli belah di Damansara, di sini semalam.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan bagasi berwarna merah jambu dan putih bersaiz sederhana pada pukul 8.00 pagi semalam.
"Jadi pihak polis telah membuka satu kertas siasatan untuk menyiasat kepunyaan siapa wang itu. Jadi dalam masa sama saya menyeru sesiapa yang tertinggal wang yang besar ini untuk datang ke balai polis Petaling Jaya atau boleh menelefon nombor 03-79662222 dan membawa segala bukti untuk mengesahkan duit ini adalah duitnya," katanya dalam sidang media di sini.
Pemeriksaan polis ke atas bagasi tersebut mendapati ia mengandungi wang kertas RM10, RM50 serta RM100 dan ia dipercayai tulen.
Bagaimanapun polis akan mendapatkan pengesahan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) selain telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat beli-belah itu, namun tidak meliputi lokasi bagasi ditemukan.
Hussein Omar Khan turut memaklumkan wang berkenaan akan diserahkan kepada pihak mahkamah untuk tindakan lanjut sekiranya tidak dituntut.