AUKU: Mahasiswa perlu diiktiraf rakan strategik negara

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Syahmi Iman Muhammad Rezal/Foto RTM

SINTOK, 7 Februari – Universiti perlu terus berfungsi sebagai gedung ilmu yang membentuk keupayaan intelektual dan jati diri mahasiswa bukan sahaja melalui pembelajaran formal malah menerusi penglibatan aktif dalam persatuan, kepimpinan kampus serta wacana ilmiah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mahasiswa perlu diiktiraf sebagai rakan strategik dalam pengurusan negara dan wacana kenegaraan.
  • Pindaan AUKU dilihat progresif bagi memerkasakan penglibatan mahasiswa dalam isu politik dan demokrasi.
  • Pelantikan kepimpinan universiti harus selari dengan autonomi, kebebasan akademik, profesionalisme dan merit.
  • Cadangan jawatankuasa pemilihan inklusif termasuk wakil akademik, profesional, korporat dan mahasiswa untuk semak imbang.

Perkara itu disuarakan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Syahmi Iman Muhammad Rezal ketika mengulas keperluan menilai semula kerangka perundangan yang mengawal mengawal tadbir urus dan aktiviti mahasiswa khususnya Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Muhammad Syahmi berkata pindaan AUKU sebelum ini menunjukkan perkembangan positif terhadap pemerkasaan mahasiswa.“Pindaan terhadap AUKU 1971 yang telah dilaksanakan sebelum ini boleh dianggap sebagai langkah progresif ke arah pemerkasaan mahasiswa, terutama apabila ruang penglibatan dalam wacana kenegaraan dan kefahaman isu politik semakin dibuka tanpa sekatan.

Mahasiswa hari ini tidak lagi boleh dilihat sebagai penerima ilmu dan dasar semata-mata, sebaliknya perlu diiktiraf sebagai rakan strategik dalam pengurusan negara.

Penglibatan mereka dalam pembincangan politik dan dasar awam merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran demokrasi dan bukannya ancaman kepada kestabilan institusi.”katanya.

Dalam pada itu beliau menegaskan struktur tadbir urus universiti di bawah AUKU perlu diberi perhatian khususnya mekanisme pelantikan kepimpinan tertinggi universiti awam.

Jelasnya, walaupun peranan Menteri dalam pelantikan Naib Canselor sah dari sudut undang-undang, perkara itu wajar dinilai secara berterusan supaya selari dengan aspirasi memperkukuh autonomi universiti dan kebebasan akademik.

Beliau berkata kepimpinan universiti perlu bebas, profesional dan berteraskan merit.

Menurutnya mekanisme pelantikan yang lebih telus dan inklusif dapat mengurangkan persepsi konflik kepentingan serta memastikan universiti kekal sebagai ruang selamat untuk perbezaan pandangan.

Sehubungan itu beliau mencadangkan pindaan AUKU difokuskan kepada Seksyen 4A berkaitan kuasa Menteri melantik jawatankuasa pemilihan Naib Canselor dan jawatan utama universiti awam.

Antara cadangan dikemukakan ialah penubuhan jawatankuasa pemilihan tidak lagi bergantung kepada pelantikan secara langsung oleh Menteri sebaliknya melibatkan wakil akademik, profesional dan sektor korporat yang berkelayakan.

Muhammad Syahmi turut mencadangkan penglibatan wakil kepimpinan pelajar sebagai sebahagian keanggotaan jawatankuasa berkenaan bagi memperkukuh prinsip semak dan imbang.

Beliau berkata penyertaan wakil mahasiswa bukan untuk mencampuri urusan pentadbiran sebaliknya membawa perspektif penting dalam pembangunan universiti.