KUANTAN, 20 September - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia sepenuhnya dalam menghadapi bencana banjir termasuk menggerakkan anggota dan aset ke lokasi yang dilanda banjir pada musim tengkujuh kelak.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, beberapa siri latihan banjir juga sudah diatur dan dilaksanakan selain pelbagai persediaan telah dibuat termasuk pemantauan di lokasi berisiko banjir selain simulasi, sebelum musim banjir bermula.
Lokasi-lokasi berisiko banjir juga telah dikenalpasti, hasil maklumat daripada pemimpin setempat.
Ketika diminta mengulas mengenai banjir yang berlaku di Sabah, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam memaklumkan seramai 600 anggota ATM digerakkan bagi membantu penduduk terjejas.
"Sekarang kita sedang mengatur gerak anggota untuk menangani bencana semasa termasuk tanah runtuh," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-92 Tahun 2025 di Pangkalan Tentera Udara Kuantan, Pahang.
Antara acara yang dilaksanakan adalah demonstrasi dinamik yang dirangka khas bagi memepamerkan sinergi keupayaan aset-aset ATM dalam mempertahankan kedaulatan tanah air dari sebarang ancaman pihak musuh.
Gabungan ketiga-tiga perkhidmatan ATM iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta elemen Pasukan Khas disatukan dalam melaksanakan operasi khas bersama bertajuk "Operasi Benteng Kedaulatan".