SANDAKAN, 22 April- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Darat Malaysia (TDM) sentiasa bersiap sedia untuk membantu misi kemanusiaan di Palestin.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, bantuan kemanusiaan itu termasuklah bantuan hospital medan yang akan dikoordinasikan di peringkat negara dan ATM.
''Berkaitan dengan isu Palestin khususnya tentera darat, kita akur dengan apa jua pilihan kerajaan terhadap isu ini.
"Sekiranya turut diperlukan bantuan kemanusiaan, contohnya dalam bentuk sama ada hospital medan dan sebagainya, kita akan turut sama membantu.
"Bagaimanapun, ia akan dikoordinasikan peringkat negara dan ATM," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Operasi Pasir Sektor Bravo di Pulau Berhala di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, buat masa ini tiada keperluan untuk menambah anggota di pintu masuk dalam negara.
Pihaknya akan sentiasa bersiap sedia untuk membantu agensi keselamatan lain sekiranya diperlukan untuk membantu daripada segi penguatkuasaan.