fb fb fb fb fb

ATM perlu tingkat keupayaan pertahanan hadapi ancaman moden

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin berucap pada Majlis Pelancaran Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan di Kuala Lumpur. Foto- RTM

KUALA LUMPUR, 11 September - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu segera meningkatkan keupayaan pertahanan seiring perkembangan teknologi ketenteraan moden bagi memastikan tahap kesiapsiagaan negara berada pada paras optimum.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin berkata, meskipun ATM memiliki kapasiti dan aset yang signifikan, ia masih belum memadai untuk mendepani ancaman moden yang semakin kompleks.

Menurutnya, perkembangan konflik antarabangsa seperti di Ukraine dan Gaza jelas menunjukkan bagaimana sistem persenjataan canggih seperti dron tempur, peluru berpandu jarak jauh, peperangan elektronik serta sistem tanpa pemandu kini menjadi norma dalam medan pertempuran.

“Tambahan pula, teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan Sistem Fizikal Siber (CPS) sudah mula digunakan dalam operasi ketenteraan bagi mempercepatkan proses membuat keputusan yang tepat. Jika perkara ini tidak diawasi, ia boleh menimbulkan risiko besar terhadap keselamatan negara.

“Oleh itu, ATM perlu memastikan teknologi tinggi ini diadaptasi secara optimum agar keupayaan operasi angkatan sentiasa relevan dan seimbang dengan negara serantau,” katanya semasa berucap di Majlis Pelancaran Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan di ibu negara yang turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.

Mengulas lanjut, Khaled memaklumkan kerajaan kini sedang melaksanakan beberapa perolehan baharu bagi menutup jurang kesiapsiagaan ATM.

Antara aset baharu yang bakal diterima termasuk pesawat tempur ringan FA-50, pesawat rondaan maritim ATR-72 MPA, sistem udara tanpa pemandu jarak sederhana MALE UAS ANKA-S, kapal misi pesisir pantai (LMS) Batch 2 serta Kapal Tempur Pesisir (LCS). Aset tersebut dijangka mula memasuki perkhidmatan antara 2026 hingga 2030 mengikut jadual penghantaran.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, kebergantungan berterusan kepada sumber luar bagi aset, penyelenggaraan dan logistik bukan sahaja meningkatkan kos, malah terdedah kepada risiko gangguan rantaian bekalan global akibat konflik antarabangsa.

“Pemerkasaan kesiapsiagaan aset memerlukan pembangunan industri pertahanan tempatan yang mampu menghasilkan komponen serta melaksanakan penyelenggaraan dalam negara. Langkah ini penting untuk menjamin kelestarian pertahanan jangka panjang,” katanya.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN