KUALA LUMPUR, 30 Januari- Malaysia berada pada kedudukan yang baik daripada segi politik dan ekonomi tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata di sebalik pelbagai cabaran dan perkembangan global, negara mampu menampan sebarang kejutan luar.
Antara cabaran tersebut termasuk konflik geopolitik berterusan Eropah dan Asia Barat, perang Gaza, risiko kadar faedah tinggi dan pilihan raya di beberapa negara utama.
"Seperti yang anda semua sedia maklum, di sebalik isu potensi dan ketidakpastian ini, saya berasa agak optimis. Tahun lalu, orang ramai berkata ia sukar tetapi kami berjaya mengelak kemelesetan dan mengurangkan inflasi."
"Itu memberi saya harapan bahawa tahun ini boleh menjadi baik bukan sahaja untuk Malaysia tetapi untuk dunia amnya," kata Fadillah dalam ucaptama Forum Ekonomi Global dan Tinjauan Strategik 2024, di ibu negara.
Tahun ini, ekonomi negara diunjur berkembang antara 4-5%, disokong pasaran kerja yang kukuh, prospek perniagaan yang positif serta kadar pengangguran yang rendah.
Selain itu, bagi memastikan kadar inflasi terkawal, kerajaan sedang melaksanakan langkah pengurangan subsidi bahan api dan pelarasan harga bahan api.
Rangsangan fiskal juga diteruskan dengan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM90 bilion di bawah Belanjawan 2024.