LANGKAWI, 29 Julai - Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Alam Sekitar ASEAN ke-36 (ASOEN-36) berlangsung secara rasmi hari ini di sini, sekali gus menandakan peranan penting Malaysia sebagai tuan rumah bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Mesyuarat ini menjadi platform utama bagi negara anggota ASEAN menyelaras tindakan kolektif dalam memperkukuh dasar, strategi dan kerjasama serantau berkaitan perlindungan alam sekitar, pemuliharaan biodiversiti, pengurusan sumber semula jadi secara mampan serta ketahanan terhadap perubahan iklim.
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Dr. Ching Thoo a/l Kim, berkata hasil mesyuarat ini bakal diterjemah dalam satu Kenyataan Bersama ASEAN mengenai perubahan iklim.
"Kita hendak bawa suara ASEAN ke peringkat lebih tinggi.
"Kenyataan bersama ini akan diketengahkan pada Persidangan Persidangan Pihak-pihak ke-30 Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim atau UNFCCC COP30 di Brazil November nanti," katanya ketika ditemui selepas merasmikan ASOEN-36 hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa rantau ASEAN semakin terdedah kepada impak perubahan iklim, menjadikan kerjasama serantau dalam isu alam sekitar sebagai keutamaan strategik.
Mesyuarat ASOEN-36 berlangsung dari 28 hingga 31 Julai ini, melibatkan penyertaan pegawai kanan alam sekitar dari kesemua 10 negara anggota ASEAN.