fb fb fb fb fb

ASEAN pilih dialog terbuka tangani tarif AS

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 April- ASEAN sebulat suara untuk mengadakan dialog terbuka dengan Amerika Syarikat (AS), bagi menangani kebimbangan berkaitan perdagangan.

Menurut kenyataan bersama Menteri Ekonomi ASEAN, mereka komited untuk tidak mengenakan sebarang tindakan balas terhadap tarif yang dikenakan AS.

Tegas kenyataan itu, hubungan kerjasama yang kukuh akan berterusan antara ASEAN dan AS.

"Sebagai Rakan Strategik Komprehensif ASEAN, AS memainkan peranan penting selama lebih empat dekad dalam membina pembangunan serantau berteraskan ASEAN."

ASEAN selaku ekonomi kelima terbesar dunia, amat prihatin terhadap pengenalan tarif sehala oleh AS baru-baru ini, termasuk tarif yang diumumkan pada 2 April 2025 dan penggantungan terkini, semalam," kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, tindakan luar biasa pelaksanaan tarif berkenaan akan mengganggu aliran perdagangan dan pelaburan serantau serta global.

Ini termasuk rantaian bekalan sekali gus memberi kesan kepada perniagaan dan pengguna di seluruh dunia.

"ASEAN percaya rangka kerja kerjasama ekonomi ASEAN-AS yang dipertingkat akan menyumbang kepada kemakmuran rakyat dan ekonomi global secara lebih luas," tambah kenyataan itu.

Rangka kerja tersebut akan memperkukuh keterlibatan yang membina, memperkukuh rantaian bekalan serantau dan mendorong inisiatif inovatif dalam memastikan hubungan ekonomi yang berdaya tahan, dan saling menguntungkan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM