LANGKAWI, 19 Januari - ASEAN perlu membina geoekonomi yang berdaya tahan bagi menghadapi ketidakstabilan landskap global, menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau menegaskan, usaha tersebut boleh dicapai dengan memfokuskan kepada pengukuhan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN serta memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
“Kita (ASEAN) adalah ekonomi kelima terbesar di dunia dengan KDNK berjumlah AS$3.8 trilion dan penduduk seramai 677 juta orang.
"Potensi pertumbuhan berterusan adalah besar, namun kita jauh lebih kuat bersama. ASEAN perlu terus mempromosikan perdagangan dan pelaburan serantau,” katanya ketika merasmikan Permukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM Retreat), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), di sini.
Beliau turut menekankan kepentingan ASEAN bersiap sedia menghadapi krisis iklim, termasuk bencana alam dan kesihatan, yang dijangka berlaku dengan lebih kerap.
Selain itu, Mohamad menekankan keperluan menangani isu ancaman rentas sempadan secara kolektif.
Ini termasuk menerusi rundingan global seperti Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC).
“Suara kolektif ASEAN adalah penting untuk memastikan keperluan serantau didengari di peringkat global. Banyak cabaran menanti, tetapi potensi penyelesaian bersama tetap menjadi keutamaan ASEAN,” tambah Mohamad.
Beliau turut menyeru negara anggota untuk terus memastikan ASEAN kekal menjadi keutamaan dalam mencari penyelesaian kepada isu serantau dan global.