KUALA LUMPUR,9 Julai -ASEAN harus kekal bersatu dan berdaya tahan ekoran ketidakstabilan global yang semakin meningkat.
Justeru, negara anggota diseru untuk memperkukuh kepusatan ASEAN selain menjadikan ia sebagai pedoman.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ASEAN perlu kekal sebagai tonggak utama rantau ini bagi dialog dan kerjasama, selain terus menawarkan nilai kepada rakan dialog.
"Kepusatan ASEAN harus menjadi pedoman utama kita seperti yang dilihat melalui usaha berterusan dalam memperkukuh dan memperbaharui institusi-institusi diterajui ASEAN."
"Pertemuan ini berlaku ketika konflik, paksaan, dan ketidakpercayaan semakin meruncing. Di Gaza dan Palestin, kita menyaksikan penderitaan yang tiada henti. Seluruh rakyat dinafikan maruah dan keadilan merentas generasi." ujar beliau.
"Di Ukraine, perang berterusan. Di seluruh bahagian Afrika, keganasan terus berpindah dan musnah. Manakala Myanmar, keamanan tetap sukar difahami meskipun penderitaan semakin mendalam." katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM ke-58) dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pagi tadi.
Sementara itu, Datuk Seri Anwar menegaskan ASEAN mesti menghadapi realiti itu dengan jelas dan yakin. Beliau menggesa penjajaran yang lebih erat antara negara asing ASEAN dan landasan dasar ekonomi.
Jelasnya, Menteri Luar berperanan penting dengan bergerak bersama dalam menghadapi cabaran.
Selain itu ASEAN tidak boleh goyah dengan tekanan luar, malah harus saling menguatkan dalam membina benteng kesepaduan yang lebih kukuh. Ia sekali gus bakal membina ekonomi ASEAN yang lebih berdaya tahan untuk beberapa dekad akan datang.