KUALA LUMPUR, 9 Julai -ASEAN dilihat sebagai model kerjasama dan integrasi serantau yang wajar dicontohi oleh rantau lain.
Menteri Hal Ehwal Luar dan Komuniti Kebangsaan di Luar Negara Algeria, Ahmed Attaf berkata, negaranya berhasrat mempelajari pendekatan ASEAN bagi memastikan kejayaan serantau dapat dicapai di rantau Afrika Utara.
“ASEAN telah menunjukkan kepada dunia satu model kerjasama yang kukuh, integrasi tulen dan sikap saling menghormati.
Kami percaya inisiatif seperti Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) mampu membantu menstabilkan ketenteraman dunia berasaskan kedaulatan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Penyertaan TAC, di sini.
Menurut Ahmed, penyertaan itu akan membuka dimensi baharu dalam hubungan dua hala Algeria dengan negara-negara ASEAN.
Beliau turut memberi jaminan bahawa isu Palestin dan hal ehwal serantau lain akan terus menjadi agenda utama dalam perbincangan bersama negara anggota ASEAN.
Sementara itu, Menteri Luar Uruguay, Mario Lubetkin menyifatkan, penyertaan dalam TAC sebagai langkah permulaan untuk memperkukuh hubungan antara ASEAN dan rantau Amerika Latin.
Beliau berkata, negara-negara Amerika Latin kini melihat keperluan untuk merangka semula hubungan dengan Asia bagi menghadapi cabaran global.
“Ini bukan sekadar kehendak, tetapi satu keperluan mendesak.
Kami yakin Asia juga mempunyai aspirasi yang sama,” katanya.
Lubetkin menambah, negara membangun di Selatan Global, termasuk Amerika Latin, Asia dan Afrika, berkongsi matlamat memperjuangkan kedaulatan, keamanan, pembangunan mampan serta menangani isu alam sekitar dan perubahan iklim secara bersama.