VIENTIANE, 10 Oktober- 10 negara-negara anggota ASEAN menggesa agar rumusan awal Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan diselesaikan segera bagi memastikan kawasan itu kekal aman.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyampaikan kenyataan bersama ASEAN pada sidang kemuncak Asean-China ke-27 berkata ASEAN turut menegaskan semula kepentingan mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan.
‘’Ini selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal, termasuk konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982", katanya pada sidang kemuncak itu.
Kenyataan Datuk Seri Anwar ini telah dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri pada media Malaysia di sini.
Malaysia berperanan sebagai negara penyelaras pada Sidang Kemuncak ASEAN-China, yang diadakan sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama-sama dengan pemimpin sembilan negara anggota ASEAN lain bertemu Perdana Menteri China, Li Qiang pada sidang kemuncak tersebut.
Datuk Seri Anwar turut menyentuh mengenai hubungan dagangan ASEAN dan China yang telah mencecah USD696.7 bilion pada tahun 2023.
Ini sekali gus menjadikan ASEAN dan China rakan dagangan terbesar bagi satu sama lain sejak 2020.
Blok 10 negara itu juga mengalu-alukan sokongan China dalam usaha peralihan tenaga dan menggalakkan kerjasama teknologi baru muncul seperti robotik dan kecerdasan buatan.
ASEAN turut mengalu-alukan kenyataan bersama mengenai usaha meningkatkan kerjasama dalam pertukaran sesama rakyat ASEAN-China melalui pelanjutan tahun pertukaran hingga 2025.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan ke-25, sempena ulang tahun ke-35 Hubungan Dialog ASEAN-Korea Selatan.
Ia yang dihadiri Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol dan sembilan pemimpin negara asean lain mengalu-alukan penubuhan kerjasama strategik komprehensif ASEAN-ROK.
Kerjasama itu bertujuan menggalakkan transformasi digital termasuk pembinaan kapasiti, peningkatan kemahiran dan mempelbagaikan sumber manusia ke arah yang lebih strategik.
Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan turut menyokong penyatuan Semenanjung Korea secara aman seiring inisiatif yang diumumkan negara itu pada 15 Ogos 2024.
Selain itu, Anwar turut menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun bersama-sama Perdana Menteri negara matahari terbit itu, Shigeru Ishiba dan pemimpin negara anggota asean yang lain.
Sidang kemuncak tersebut menggesa agar kerjasama strategik antara ASEAN dan Jepun meliputi transformasi digital, pengukuhan rantaian bekalan, dan kemajuan kecerdasan buatan dipertingkat.
Di luar sidang itu, Perdana Menteri juga berkesempatan menerima kunjungan hormat daripada pengasas dan Pengerusi Eksekutif Forum Ekonomi Dunia (WEF), Profesor Klaus Schwab.
Selain itu beliau juga mengadakan beberapa mesyuarat dua hala dengan Presiden Majlis Eropah yang bakal dilantik, Antonio Costa.
Pada sebelah petang beliau menghadiri mesyuarat bersama-sama Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau, Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken dan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh.
Mengiringi Perdana Menteri pada persidangan ini ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.