KOTA TINGGI, 28 Februari- ASEAN berjaya mencapai kata sepakat terhadap separuh daripada 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) yang ditetapkan Malaysia dalam Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) di Desaru Coast, Johor, petang tadi.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata PED yang dipersetujui merangkumi beberapa perjanjian perdagangan penting serta inisiatif ekonomi serantau.
"Antara PED yang mendapat persetujuan adalah Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA), Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China, dan ASEAN-India.
"Selain itu, kerjasama ASEAN-GCC, Panduan Pelaburan Mampan ASEAN, rangka kerja kenderaan elektrik (EV), serta bantuan peralihan hijau untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) turut dipersetujui,"* katanya.
Menurut beliau, pemukiman ini memberi peluang kepada Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN untuk membincangkan keutamaan dalam Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), menetapkan PED tahun ini, serta bertukar pandangan mengenai prospek ekonomi serantau dan global.
Tambahannya lagi, ASEAN turut mencapai persetujuan beberapa perkara antaranya berkaitan integrasi rantaian bekalan semikonduktor untuk mengukuhkan daya saing rantau ini dalam sektor teknologi tinggi dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) bagi mempercepatkan digitalisasi ekonomi serantau
PED berkenaan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi dan Kementerian Perdagangan negara-negara anggota ASEAN, dengan fokus ke arah pertumbuhan mampan, keterangkuman ekonomi, dan daya tahan ASEAN dalam menghadapi cabaran geopolitik global.
Sementara itu, Zafrul memaklumkan ASEAN bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas peringkat tinggi bagi menghadapi cabaran ekonomi global, termasuk kesan tarif yang dilaksanakan Amerika Syarikat (AS).
Jelas Zafrul, menteri-menteri ekonomi serantau juga bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam menghadapi pelbagai cabaran ekonomi global.
Keputusan itu dicapai dalam Permukiman AEM ke-31 di Desaru yang dihadiri 10 Menteri Ekonomi ASEAN dan Timor-Leste.
"Kami telah bersetuju untuk mewujudkan pasukan petugas peringkat tinggi bersama pasukan petugas khas lain untuk melihat dan memberi nasihat kepada Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN mengenai kemungkinan senario.
"Ini bukan sekadar mengenai tarif, tetapi penglibatan juga harus merangkumi perdagangan, mineral strategik, ketahanan rantaian bekalan, dan keselamatan teknologi", katanya.
Pada 14 Februari lalu, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan rancangannya untuk menaikkan tarif AS untuk memadankan kadar cukai yang dikenakan oleh negara lain ke atas import.