fb fb fb fb fb

AS ucap tahniah kepada Malaysia sempena Hari Kebangsaan ke-68

FACEBOOK U.S. Embassy Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 1 September- Amerika Syarikat (AS) menyampaikan ucapan tahniah kepada Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata hubungan dua hala antara kedua-dua negara kekal kukuh sejak beberapa dekad lalu, berasaskan nilai keamanan, keselamatan dan kemakmuran bersama.

"Bagi pihak Amerika Syarikat, saya menyampaikan ucapan tahniah yang tulus ikhlas kepada rakyat Malaysia sempena ulang tahun kemerdekaan ke-68 Malaysia pada 31 Ogos.

"Dengan ucapan tahniah dari AS ketika anda meraikan pencapaian ini, saya mendoakan agar seluruh rakyat Malaysia melalui tahun mendatang dengan penuh kemakmuran," katanya dalam perutusan yang dimuat naik di laman rasmi Facebook Kedutaan AS di Kuala Lumpur.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama Malaysia dan AS dalam memastikan gencatan senjata berkekalan antara Thailand dan Kemboja, selain menyatakan keyakinan hubungan dua hala akan terus diperkukuh.

Rubio sebelum ini mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada Julai lalu sempena beberapa mesyuarat ASEAN, selain mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan pengukuhan kerjasama Indo-Pasifik serta kolaborasi ekonomi.

SITI AISHAH BINTI MD ISA