fb fb fb fb fb

AS salur RM442,817 untuk bantuan banjir di Malaysia

Tangkap layar video yang dikongsi Facebook U.S. Embassy Kuala Lumpur menerusi akaun Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Kelantan

KUALA LUMPUR, 12 Disember- Kerajaan Amerika Syarikat (AS) melalui Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) menyalurkan sumbangan sebanyak RM442,817 (USD$100,000) kepada penduduk terjejas banjir di Malaysia. 

Bantuan itu disalurkan menerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia bertujuan menyokong usaha bantuan banjir untuk komuniti terjejas.

"Kami bersama dengan mereka yang terkesan akibat banjir besar di Malaysia. Melalui kerjasama ini, kami membantu komuniti yang terjejas untuk bangkit semula," menurut Kedutaan AS di Kuala Lumpur menerusi Facebook.

Ia sekali gus mencerminkan kerjasama erat antara kedua-dua negara dalam menghadapi bencana dan memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

"Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelamat yang menyelamatkan nyawa, mengurangkan penderitaan dan melindungi golongan rentan," tambah kenyataan itu.

Hantaran berkenaan turut memaparkan video berdurasi 1.18 minit yang menunjukkan Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Kelantan menghantar bantuan kepada penduduk terjejas.  

 

SITI AISHAH MD ISA