fb fb fb fb fb

AS perlu lebih tegas terhadap Israel, Malaysia sokong kuat gencatan senjata penuh - PM

Malaysia menuntut Amerika Syarikat (AS) bertindak lebih tegas terhadap Israel, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto AFP

PUTRAJAYA, 5 Jun - Malaysia menuntut Amerika Syarikat (AS) bertindak lebih tegas terhadap Israel.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bencana dan kesengsaraan rakyat Palestin adalah disebabkan kedegilan dan keangkuhan negara haram itu.

Jelas Anwar, Malaysia menyokong kuat cadangan AS untuk menamatkan pertempuran di Gaza melalui gencatan senjata penuh.

"Meletakkan beberapa prinsip mencapai kedamaian segera yang lebih mantap di Palestin dan Israel khususnya bagi menghentikan serangan ganas ke atas Gaza.

"Kita juga bincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan memberikan sokongan kepada Mesir, Qatar dan AS. Saya percaya ia lebih lunak berdasarkan apa yang pernah saya bincangkan dengan pimpinan Hamas," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Modul Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI, di sini.

Pada 31 Mei lepas, Biden mengumumkan cadangan tiga fasa untuk gencatan senjata sepenuhnya di Gaza.

Ini termasuk pembebasan tawanan dari kedua-dua pihak, usaha ke arah menamatkan permusuhan secara kekal dan rancangan pembinaan semula Gaza.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN