fb fb fb fb fb

AS antara rakan dagangan utama Malaysia - PM

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 11 Oktober- Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) saling bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan kedua-dua negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bertemu Setiausaha Negara AS, Antony Blinken di sela-sela kepadatan jadual hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan semalam menyatakan bahawa negara itu merupakan salah satu rakan dagangan utama Malaysia.

"Ini termasuk pelaburan terkini berjumlah AS$14.7 bilion daripada gergasi teknologi AS seperti Google, Microsoft, Enovix Corporation, Amazon Web Services, Abbott Laboratories, dan Boeing," katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Malaysia juga menyatakan penghargaan atas peranan penting AS dalam Resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) 2735 yang berkaitan dengan usul gencatan senjata dalam konflik Israel-Hamas.

Pada masa yang sama, Anwar menggesa AS menggunakan pengaruhnya untuk memastikan resolusi itu dilaksanakan dan dipatuhi Israel.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM