KUALA LUMPUR, 9 September – Malaysia hari ini mencatat sejarah apabila menjadi tuan rumah kepada Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi ASEAN (ARCEOs) ke-45 yang berlangsung di salah sebuah hotel di ibu negara hari ini.
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah yang menekankan kepentingan kerjasama serantau dalam memperkukuh rangkaian kereta api ASEAN.
Menurut beliau, penganjuran kali ini selari dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, sekali gus mencerminkan komitmen negara dalam memacu inovasi serta mengukuhkan kerjasama serantau.
“Perhimpunan ARCEOs ini menjadi bukti cita-cita bersama dan semangat perpaduan ASEAN, sekali gus mencerminkan dedikasi Malaysia sebagai Pengerusi untuk memastikan sektor kereta api rantau ini terus berada di barisan hadapan kemajuan, inovasi dan kerjasama bagi masa depan yang berdaya tahan serta berhubung tanpa sempadan,”katanya ketika berucap pada majlis pembukaan Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi ASEAN (ARCEOs) ke-45 di sini hari ini.
Beliau menegaskan pembangunan infrastruktur kereta api yang cekap adalah kunci dalam mengukuhkan hubungan ekonomi, mengurangkan kos logistik serta menyediakan mobiliti inklusif dan lestari kepada rakyat di rantau ini.
Persidangan kali ini turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama rentas sempadan, termasuk projek Trans-ASEAN Railway Links, selain menyokong agenda Wawasan Komuniti ASEAN 2045.
Tambah beliau, inisiatif tersebut juga seiring dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberi penekanan kepada pembangunan semula sistem pengangkutan awam, merangkumi infrastruktur, pembangunan berorientasikan transit (TOD) serta tadbir urus sektor rel negara.