KUALA LUMPUR, 23 Oktober - Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Mengenai Matlamat Pembangunan Lestari (APPGM-SDG) hari ini melancarkan dua penerbitan terbaharu iaitu Kompilasi Laporan Pemetaan Isu Kawasan Parlimen 2025 dan buku Merangka Langkah ke Arah Masa Depan Mampan: Bengkel Pembangunan Kapasiti di Parlimen Malaysia.
Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib mennyatakan penghargaan kepada APPGM-SDG atas komitmen yang tinggi terhadap pembangunan masyarakat melalui penyelidikan berasaskan data lapangan.
Penerbitan itu sekali gus menonjolkan komitmen dwipartisan dalam memperkukuh pelaksanaan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) di seluruh negara.
"Penerbitan ini bukan sekadar mencerminkan kesungguhan, tetapi juga menzahirkan keberanian untuk mendengar dan mengangkat suara sebenar masyarakat di peringkat akar umbi.
"Saya melihat hasil penyelidikan ini seiring dengan fokus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberi penekanan kepada pembangunan wilayah seimbang dan kesejahteraan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Kompilasi Laporan Pemetaan Isu Kawasan Parlimen 2025 dan buku Merangka Langkah ke Arah Masa Depan Mampan: Bengkel Pembangunan Kapasiti di Parlimen Malaysia di ibu negara.
Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hajah Hanifah Hajar Taib dengan kehadiran Timbalan Pengerusi Jawatankuasa APPGM-SDG, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Ketua Sekretariat APPGM-SDG, Prof. Datuk Dr. Denison Jayasooria, serta ahli-ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang.
Penerbitan enam jilid laporan berkenaan merangkumi hasil pemetaan isu dan analisis kritikal di 28 kawasan Parlimen, manakala buku pembangunan kapasiti mendokumentasikan bengkel yang dilaksanakan antara Januari hingga September 2025.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penyelarasan Parlimen APPGM-SDG, Dr. Teo Lee Ken menjelaskan, empat isu utama dikenal pasti tahun ini, iaitu kemiskinan relatif dan kerentanan, infrastruktur dan perkhidmatan awam, isu ‘empat beradik’ (sosial–ekonomi–ekologi–spatial) serta peminggiran sosial, yang memerlukan pendekatan berbeza mengikut konteks wilayah dan komuniti.
Sejak 2020, APPGM-SDG diluluskan Parlimen dan dibiayai Kementerian Kewangan — telah bekerjasama dengan 143 kawasan Parlimen, menjadikannya contoh kerjasama dwipartisan dalam memperkukuh pelaksanaan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) di Malaysia.
Inisiatif berkenaan menjadi contoh nyata bagaimana kerjasama rentas parti dapat memperkukuh pembangunan mampan negara ke arah masa depan yang inklusif dan berdaya tahan.