fb fb fb fb fb

APMM Perak tahan kapal kargo bersauh tanpa kebenaran

Foto APMM

LUMUT, 13 Disember- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan sebuah kapal kargo yang bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 46.2 batu nautika barat laut Pulau Pangkor, Lumut.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, kapal kargo itu dikesan sedang bersauh oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin dalam Op Pintas, Op Tiris dan Op Khas Pagar Laut.

"Hasil pemeriksaan, mendapati seorang nakhoda dibantu 20 kru yang terdiri daripada warga China gagal mengemukakan surat kebenaran bersauh oleh Pengarah Jabatan Laut Malaysia. Kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan umur 22 hingga 49 tahun", katanya dalam kenyataan.

Kes disiasat dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952, Seksyen 491B (1) (1) iaitu bersauh tanpa kebenaran daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

ROSLINA BINTI DIN