KUALA NERUS, 15 Januari - Seekor ular sawa batik sepanjang enam meter dengan berat kira-kira 120 kilogram (kg) ditangkap semalam selepas ditemui orang awam di dalam parit di Kampung Gong Awang Lib di Mengabang Telipot di sini, malam tadi.
Pegawai Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Terengganu/Kuala Nerus Lt Muda Norulhaida Md Rashid berkata, lapan anggotanya dikerahkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan mengenai penemuan reptilia terbabit pada pukul 8.30 malam.
"Ular itu ditemukan orang kampung di dalam parit yang berhampiran dengan jalan. Anggota kita mengalami kesukaran untuk menangkap haiwan itu kerana selain saiznya yang besar dan panjang, ular itu juga bertindak agresif.
Kita mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk menangkapnya," kata Norulhaida di sini.
Katanya, ular sawa batik berkenaan dibawa ke Balai APM Kuala Terengganu/Kuala Nerus untuk disimpan sementara diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.