BANGI, 3 Februari- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyasarkan untuk melatih 1,000 jurulatih baharu menjelang Jun ini bagi memperkasakan keupayaan latihan pertahanan awam negara.
Ketua Persuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata pertambahan jumlah jurulatih itu bagi membolehkan agensi itu melatih 150,000 warga baharu serta orang awam dengan ilmu asas pertahanan awam.
"Untuk mencapai sasaran ini, APM memerlukan lebih ramai jurulatih yang terlatih dan berkemahiran tinggi kerana berdasarkan kedudukan ekosistem semasa kita hanya mampu latih 33,000 peserta setahun.
"Menambah jurulatih juga adalah quick win untuk memperkasakan sebahagian daripada ekosistem pertahanan awam negara dan memastikan masyarakat kita lebih bersedia untuk menghadapi risiko atau ancaman bencana," katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sasaran +1000 Jurulatih, di sini hari ini.
Kerajaan sebelum ini meletakkan cabaran kepada APM untuk meningkatkan keupayaan kepada 150,000 anggota menjelang akhir tahun ini bagi menampung keperluan, khususnya dalam situasi kecemasan dan bencana banjir.
Mengulas lanjut, Aminurrahim berkata penambahan jurulatih juga akan membolehkan APM berkerjasama dengan institut latihan serta agensi kerajaan lain bagi melatih dan menyebarkan kesedaran keselamatan dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Kolaborasi ini adalah kunci untuk memperkasakan pertahanan awam di negara ini, terutamanya di kawasan yang terdedah kepada risiko bencana alam dan ancaman keselamatan," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Khairus Masnan Abdul Khalid berkata inisiatif berkenaan penting bagi memastikan APM dapat memberikan latihan secara konsisten serta mengelakkan sebarang gangguan dalam pelaksanaan program.
"APM harus mengikuti arus perubahan atau melaksanakan satu game changer bagi mencapai dan selarikan usaha dengan nilai-nilai Malaysia MADANI.
"Dengan adanya lebih ramai jurulatih, lebih ramai dapat menerima latihan asas sekali gus meningkatkan tahap kesedaran dan keupayaan mereka dalam menghadapi situasi kritikal," katanya.- BERNAMA