BACHOK, 25 Disember- Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kelantan mempergiat pemantauan di kawasan pesisir pantai berikutan fenomena angin kencang dan ombak tinggi yang boleh mencecah 4.5 meter dan dijangka berlaku sehingga esok.
Pengarahnya, Kolonel (PA) Mohd Adzhar Mujab berkata, pihaknya meningkatkan kekerapan rondaan dan menasihatkan pengunjung di kawasan pantai di Kota Bharu, Tumpat, Pasir Puteh dan Bachok yang menjadi tumpuan umum terutama pada musim cuti sekolah ini agar lebih berwaspada.
Menurutnya, langkah itu bertujuan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini seperti tragedi lemas atau dihanyutkan arus dan ombak ketika bermain di pesisir pantai.
"Ada juga yang masih lagi nak bermain di gigi-gigi air maklumlah apabila bercuti, jadi nakkan suasana di pantai ini, jadi kita kena tengok jugalah. Jadi kita di APM ini yang meronda sentiasa memberi nasihat kepada penjaga supaya tengoklah anak-anak mereka kerana ini penting supaya tidak berlaku apa-apa yang tidak diingini" katanya.
Mohd Adzhar berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan keadaan ombak di Pantai Irama, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya juga telah menaikkan bendera merah sebagai amaran kepada pengunjung agar tidak mendekati atau menjalankan sebarang aktiviti di pantai.
Terdahulu, MetMalaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua yang turut melibatkan negeri Kelantan bermula semalam hingga esok.