BONGAWAN, 16 September - Pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Membakut siap siaga membantu pemindahan penduduk terjejas banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sejak kelmarin.
Seramai 54 ketua isi rumah membabitkan 202 mangsa ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Bongawan selepas kediaman mereka dinaiki air akibat hujan lebat berterusan.
Jurucakap APM Membakut berkata, pihaknya menerima lebih 15 panggilan daripada penduduk di sekitar Kimanis, Bongawan dan Membakut yang memohon bantuan untuk dipindahkan.
“APM Membakut mempunyai 22 anggota yang dikerahkan membantu proses menyelamat serta memindahkan penduduk ke PPS berdekatan,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan bantuan segera disalurkan tanpa sebarang gangguan bagi menjamin keselamatan dan kebajikan mereka terjejas banjir.
Kerajaan telah menyalurkan RM11 juta melalui kerajaan negeri serta RM10 juta tambahan melalui NADMA menjadikan keseluruhan RM21 juta diperuntukkan bagi membantu penduduk terjejas banjir di Sabah.