GEORGE TOWN, 24 Jun- Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang menyediakan aplikasi telefon mudah alih Pelancongan Mesra Muslim Pulau Pinang.
Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, Tan Sri Khalid Ramli berkata aplikasi ini sangat signifikan dalam membantu meningkatkan kelancaran urusan pelancong Muslim seiring dengan perkembangan teknologi.
Katanya, ini merupakan inisiatif dibawah Rangka Kerja Transformasi Pelancongan Mesra Muslim yang telah dilancarkan Perdana Menteri pada Ogos tahun lalu.
Ia selaras dengan Aspirasi MyDigital ke arah menjadikan Malaysia peneraju serantau dalam ekonomi digital serta pembangunan sosioekonomi yang inklusif dan mampan.
"Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang memberi keutamaan, salah satu bidang yang kita beri keutamaan ialah bidang pelancongan untuk diceburi oleh Bumiputera khasnya di Pulau Pinang.
"Jadi, berusaha dengan lebih gigih lagi untuk menambahkan produk-produk mesra Muslim di sini, khasnya produk makanan, tempat-tempat kediaman dan sebagainya. Saya rasa banyak lagi yang boleh kita lakukan. Diharapkan dengan adanya portal ini, ia juga akan memberi perangsang kepada lain-lain untuk menceburi bidang pelancongan, tidak semestinya besar, secara kecil-kecilan dahulu", katanya.
Menerusi penggunaan aplikasi ini, pelancong dapat merancang perjalanan dengan mudah, cepat dan dapat dibuat dimana-dimana pada bila-bila masa.
Antara kandungan dalam aplikasi seperti pakej pelancongan, homestay bumiputera, destinasi pelancongan, senarai masjid dan tempat makanan menarik serta senarai pemandu pelancong sebagai rujukan pelancong.