PERU, 16 November- Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik APEC perlu mempertimbang pembentukan pakatan baharu dengan ASEAN, Kesatuan Afrika dan rangkaian digital rentas sempadan untuk mentakrifkan semula daya tahan global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar menekankan pentingnya menjaga golongan rentan yang menjadi nadi masyarakat.
Beliau mencadangkan agar sumber APEC dimanfaatkan melalui kerjasama rentas rantau untuk menangani isu-isu seperti pendidikan digital, akses kewangan, dan kemampanan iklim.
“Sebagai contoh, kerjasama dengan Perikatan Pasifik dalam bidang pertanian pintar iklim atau pelaksanaan program digital mampu milik melalui Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) boleh merapatkan jurang digital dan membuka peluang baharu, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya pada Dialog Tidak Rasmi Pemimpin APEC dengan tetamu sempena Minggu Pemimpin Ekonomi (AELW) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).
Dalam ucapannya, Datuk Seri Anwar turut mengetengahkan isu kemanusiaan termasuk nasib golongan tertindas dan mangsa kekejaman atas dasar agama atau bangsa, seperti rakyat Palestin.
“Kita tidak boleh melihat pembangunan ekonomi semata-mata dari sudut materialistik. Kita perlu memastikan keadilan untuk golongan miskin, tertindas, dan mangsa kekejaman,” katanya.
Beliau menutup ucapannya dengan seruan kepada APEC untuk bertindak berani demi membina masa depan yang lebih baik dan adil bagi semua pihak.